Sebagai pembuka bicara, mari kita renungkan secara mendalam akan surah A'li Imraan, ayat 103:
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya."
Hakikat Tali
Tali digunakan untuk membantu dan meringankan bebanan kita dalam melakukan beberapa pekerjaan seperti menggunakan tali pancing untuk memancing ikan.  Ianya juga di perlukan dalam usaha melindungi dan menjaga kita dari terjatuh ke dalam gaung ataupun hanyut di bawa arus ketika sampan berlabuh.
Sebelum kita mengupas dengan lebih mendalam, hendaklah kita mengetahui beberapa ciri bagi tali seperti dibawah:
  1. Tali adalah lurus
  2. Tali di buat dengan beberapa utas tali yang lebih kecil yang di pintal
  3. Tali adalah sesuatu yang kuat
  4. Tali mudah putus jika tidak di uruskan dengan baik.
  5. Dua tali tidak boleh di pegang serentak oleh manusia
Tali Adalah Lurus
Setiap tali apabila ianya dalam keadaan menegang mempunyai ciri lurus. Itulah hakikatnya tali Allah. Apabila kita berpegang teguh pada tali Allah yang lurus, kita akan di bawa terus menuju ke arah-Nya (kerana ianya adalah lurus) dengan syarat kita tidak berpegang kepada tali-tali lain yang di buat hasil dari tipu-daya syaitan dan Iblis.
Tali di buat dengan beberapa utas tali yang lebih kecil yang di pintal
Tali Allah merupakan satu tali yang mempunyai pintalan-pintalan tali lain yang menjadi asas seperti Rukun Iman dan Rukun Islam. Ianya juga termasuk perintah dan larangan Allah dan Rasul-Nya.
Sekiranya setiap dari perintah dan larangan Allah dan Rasul-Nya beserta segala rukun di pintal dengan kemas serta teliti tanpa ada ruang bagi unsur lain menyelit di celah pintalan itu seperti amalan bida'ah dan syirik, insya-Allah tali yang kita berpegang itu tidak akan mengecewakan kita dan membawa kita ke lembah kehancuran.
Kita akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat sekiranya tali yang kita berpegang itu mengikut apa yang di syaratkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Justeru itu, hendaklah kita pastikan bahawa tiada ruang di celah tali kita untuk unsur lain menular masuk dan lantas melemahkan serta memutuskan tali kita dengan Allah.
Tali adalah sesuatu yang kuat
Di sebabkan tali diperbuat dari pintalan-pintalan tali kecil, ianya menjadi kuat. Ianya ibarat ranting kayu. Sekiranya ranting-ranting kayu dikumpulkan maka usaha untuk mematahkannya adalah sukar. Sama juga kepada tali. Lagi banyak pintalan tali kecil yang kita gunakan, bertambah kuatlah tali itu. Begitu juga dengan tali Allah yang kita berpegang padanya.
Tali itu akan menjadi bertambah kuat sekiranya kita memasukkan amalan-amalan sunat yang lain bagi memantapkan lagi segala amalan yang wajib yang telah kita usahakan. Insya-Allah segala usaha kita akan di balas dengan sebaik-baik balasan di akhirat kelak.
Tali mudah putus jika tidak di uruskan dengan baik
Setiap tali hendaklah di jaga agar ianya sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat untuk di gunakan. Tali hendaklah di teliti agar tiada kesan-kesan bahawa ianya akan putus. Sekiranya kita menjumpai kesan-kesan tersebut, kita hendaklah berusaha membaiki tali tersebut.
Begitu juga dalam urusan menjaga tali Allah. Sekiranya terdapat rukun-rukun ataupun perintah dan larangan Allah dan Rasul-Nya yang tidak kita jaga, lama-kelamaan tali Allah akan putus. Terputusnya tali Allah inilah yang mengakibatkan seseorang itu boleh murtad dan melakukan syirik kepada Allah.
Kita hendaklah berusaha memastikan bahawa kesemua unsur yang terdapat pada tali Allah di jaga dengan baik bagi tujuan keselamatan kita di dunia dan di akhirat.
Dua tali tidak boleh di pegang serentak oleh manusia
Hanya tali Allah sahaja yang mampu menyelamatkan manusia. Justeru, tiada tali lain yang boleh membantu memberi kesejahteraan kepada manusia.
Sebagai contoh apabila seseorang berpegang kepada satu tali untuk menyelamatkan dirinya dari terjatuh ke dalam gaung yang dalam, dia akan berpaut pada tali tersebut sekuat hati dengan menggunakan tangan dan kakinya. Akan tetapi sekiranya dengan tiba-tiba ada tali lain yang diturunkan (tali ini tidak kukuh dan mudah putus) dan beliau pun berpegang kepada tali tersebut, maka pegangan beliau kepada tali yang pertama sudah goyah.
Dan sekiranya ditakdirkan angin kuat datang melanda dengan tiba-tiba, ada tiga kemungkinan yang akan terjadi iaitu kemungkinan pertama dia akan jatuh disebabkan pegangannya pada kedua tali tidak kukuh.
Kemungkinan kedua ialah dia akan terus berpegang kepada tali yang pertama manakala kemungkinan ketiga ialah dia akan berpegang kepada tali yang baru diturunkan. Akan tetapi tali ini tidak kukuh dan dia akan jatuh juga akhirnya.
Ianya adalah sama terhadap tali Allah. Sekiranya kita sejak lahir lagi telah berpegang teguh pada tali Allah dan kemudiannya kita nampak ada tali-tali lain yang agak menarik penampilannya, kita usah berpegang kepada tali-tali lain kerana ianya tidak kukuh. Sekiranya kita berdegil dan masih berpegang kepada tali selain tali Allah, maka badai kehidupan akan pasti menghancurkan kita.
Justeru itu wahai sahabat sekelian, marilah kita istiqomah mulai saat ini akan senantiasa berpegang kepada tali Allah iaitu agama Islam yang syumul dan sempurna. Janganlah kita tertarik dengan tali-tali lain seperti kemewahan dunia, pangkat, darjat, anak-pinak dan sebagainya kerana ianya bakal membawa kita ke lembah kehancuran.
Semoga Allah membimbing kita di jalan-Nya dan kita istiqomah dan redha dengan tali-Nya. Aamin.

0 reply:

Copyright 2012 Islam Agamaku
Islam Agamaku Free Premium Blogger™ template by Muhammad Akram