11 jenis manusia yang akan didoakan Malaikat


PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman . Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.Kali ini penulis ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat. Ketika itulah sewaktu kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.

Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).
Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, dimana ia melakukan solat."

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.

"Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagai mana kalian meninggalkan hamba-Ku?"

Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'"

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"

9 . Orang yang membelanjakan harta (infak).
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...' "

10. Orang yang sedang makan sahur
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. WAllahu'alam.Semoga kita termasuk dan tersenarai sama. InsyaAllah.

Peringatan. Solat itu wajib, jgn biarkan diri dimamah usia dengan kekosongan rohani. Isikanlah dengan zat-zat yang berguna. Sebaik-baik rumah adalah Syurga. Sewanya dibayar dengan solat 5 waktu, puasa, zakat dan sunnah Rasulullah. Seburuk-buruk tempat adalah neraka. Hindarkanlah dengan solat 5 waktu, puasa, zakat dan sunnah Rasulullah. Kubur yang luas kerana solat 5 waktu, puasa, zakat dan sunnah Rasulullah. Kubur yang sempit kerana tidak solat 5 waktu, puasa, zakat dan sunnah Rasulullah. Lakukan sebaik mungkin yang wajib, insyaalah yang sunat pun akan berkat. Amin.a279;



DOSA MENGUMPAT


MENGUMPAT ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Perbuatan itu mungkin menyebabkan kesusahan, kerugian, perasaan malu dan mendapat nama buruk akibat cerita itu.


Rasulullah saw menjelaskan mengenai mengumpat seperti sabda bermaksud:
“Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya.” (Hadis riwayat Muslim)


Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui ia difahami oleh orang mendengarnya.


Mengumpat banyak mendatangkan keburukan. Oleh itu, Islam melarang umatnya mengumpat.


Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.


Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah daripada kamu. Adakah seorang daripada kamu suka makan daging bangkai saudaranya, tentunya kamu semua membenci memakannya …” (Surah al-Hujurat, ayat 12).


Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat.


Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya pada akhirat.


Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan, sesungguhnya orang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang diumpat.” (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad).


Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.


Tidak ramai melakukan zina kerana dosanya amat besar tetapi ramai tidak sedar setiap hari melakukan dosa lebih besar daripada zina.


Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.


Sabda Rasulullah bermaksud: “Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya.


Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri.” (Hadis riwayat Abu Daud).


Maksud hadis itu dengan jelas membuktikan orang mengumpat dikategorikan sebagai belum beriman dengan hatinya biarpun lidahnya mengaku beriman.


Orang mengumpat bakal dimalukan biarpun dia berada di rumahnya sendiri. Kesan buruk mengumpat boleh menyebabkan perbalahan dan perasaan tidak senang dalam masyarakat.


Perasaan iri hati, marah, benci dan dendam mudah merebak daripada perbuatan mengumpat. Ia mungkin boleh merebak sehingga mencetuskan huru- hara dan pembunuhan.


Mengumpat juga boleh berlaku ketika bergurau dan melawak apabila menggunakan perkataan atau perbuatan melambangkan keburukan seseorang.


Rasulullah saw pernah menegur Siti Aishah kerana berkata “alangkah pendeknya perempuan itu” kepada seorang perempuan tua yang datang berjumpa dengan Rasulullah saw.


Kata-kata itu turut dianggap mengumpat kerana menyebut kelemahan sifat orang lain dengan memperkecil-kecilkannya.


Ini bermakna kita tidak boleh memanggil seseorang dengan panggilan menunjukkan kekurangan fizikal seperti botak atau buncit.


Tetapi masyarakat kita sering menggunakan lambang fizikal seseorang sebagai panggilan untuk melawak. Ada juga menyebut perkataan itu dengan tujuan panggilan ‘mesra’. Kita boleh memanggil seseorang dengan gelaran itu jika orang itu bersetuju atau tidak marah.


Orang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.


Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering.” Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.


Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukan olehnya di dunia.


Maka, dia berkata kepada Allah: “Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya.” Maka Allah menjawab: “Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui.”


Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.


Walaupun perbuatan menceritakan keburukan seseorang kepada orang lain amat dilarang dan berdosa besar, ada masanya kita diharuskan berbuat demikian. Perbuatan itu hendaklah bertujuan kebaikan dan bukan saja-saja suka menceritakan keburukan orang.


Antara contoh keadaan yang dibenarkan ialah menceritakan sifat seseorang yang suka menipu. Kita menceritakan sifatnya itu bertujuan supaya orang lain berhati-hati dan tidak akan mudah ditipu olehnya.


Tetapi janganlah ditambah cerita mengenai sifat lain pula. Contohnya, selain cerita sikapnya suka menipu, diceritakan juga sifatnya suka minum arak. Ini kerana di antara kedua-dua sifat itu tidak mempunyai hubungan dan bukan untuk tujuan asal agar tidak tertipu.


Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Jauhkan diri daripada berada dalam suasana yang boleh menyebabkan berlakunya mengumpat.


Oleh itu, perbanyakkan zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat “


Sumber>> http://www.facebook.com/home.php?sk=group_124069881000143&notif_t=group_activity

Copyright 2012 Islam Agamaku
Islam Agamaku Free Premium Blogger™ template by Muhammad Akram